Entry: Memulakan Penulisan Friday, November 06, 2009
Ada idea di fikiran? Mahu meluahkannya menjadi sebuah penulisan? Dalam erti kata lain, ingin menjadi penulis? Maka, menulislah. Buka komputer, atau ambil pen dan kertas (ini situasi saya kerana saya menulis di atas kertas terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke komputer)
Anda sudah ada bayangan situasi yang bermain di fikiran, yang ilhamnya tercetus samada daripada kisah sendiri atau kisah orang lain. Zahirkan setiap bayangan itu di atas kertas. Jika anda 'melihat' watak itu menangis, tulislah yang ia menangis. Gambarkan juga keadaan dirinya semasa menangis. Adakah dia menangis mendayu-dayu atau hanya mengalirkan air mata. Apa (What) yang dilakukannya semasa menangis, adakah dia mengesat air mata dll atau apa yang dilakukannya selepas menangis? Siapa (Who) dia dan siapa lagi yang bersama dengannya? Di mana (Where) dia menangis (latar tempat/ruang)? Bila (When) dia menangis (latar masa)? Mengapa (Why) dia menangis? Bagaimana (How) caranya dia menghentikan tangisan itu? 5W1H ini saling berkaitan dan saling melengkapkan dalam sesebuah cerita.
Bagaimana hendak mula menulis?
Pilih cerita anda sendiri samada diilhamkan dari kisah sendiri atau kisah orang di sekeliling anda atau juga kisah imaginasi anda sendiri. Selalunya kisah cinta adalah kisah yang paling banyak ditulis. Jadi, di sini daya kreativiti anda perlu dikerah dalam hendak menampilkan bagaimana cerita itu menarik perhatian orang. Berikan kelainan jika anda tidak mahu karya anda dikatakan sama dengan novel penulis ini atau penulis ini. Tetapi 'NO PLAGIAT ATAU CIPLAK ATAU JUGA COPY PASTE' MELAINKAN IA ADALAH SATU KEBETULAN YANG TIDAK DIJANGKA (YANG KADANG-KADANG PUN AKAN DIPERTIKAIKAN). Hormati titik peluh orang.
Letakkan garis permulaan dan garis penamat bagi cerita anda. Untuk ini, buat draf carta aliran jalan cerita yang hendak ditulis.
Dan pada masa yang sama, saya percaya kepada perancangan penulisan (walaupun kadang-kadang gagal mengikutinya, sebab kalau betul-betul ikuti perancangan ini, saya sudah siapkan dua buah novel pada tika ini) iaitu tetapkan jangkamasa bila hendak menyiapkannya.
p/s : Nota ini sebenarnya untuk seseorang yang bertanya kepada aku cara-cara menulis. Aku akan berikan nota (dari sudut pandangan diri sendiri) yang lain kelak. Dan aku gembira jika ada rakan penulis yang menjengah blog ini boleh meninggalkan idea mereka sendiri berdasarkan tajuk entri ini.